Assalamualaikum! Welcome! ^~^

Segala penulisan yang baik itu idea dari ALLAH untuk saya dan penulisan yang buruk itu khilaf saya sendiri. Selamat membaca =)

Soalan Ramalan PMR 2012: Bahasa Melayu

Nak soalan-soalan ramalan Peperiksaan Menengah Rendah kertas Bahasa Melayu untuk tahun 2012? Atas persetujuan dan kebenaran si Ayah, saya dibenarkan berkongsi soalan-soalan ramalan dengan adik-adik yang bakal menduduki PMR tahun 2012. Eh tahun ni la tu! Isnin ni kan paper? Dah lewat! Tak apa, fokus pada kertas karangan. Jangan mengeluh last minit, tapi bersyukur sebab sekurangnya tahu bentuk soalan macam mana yang akan keluar dalam paper exam nanti. So bolehla bersedia dan elakkan diri jadi 'blackout' sebab terkejut dengan jenis soalan yang keluar.

Untuk pengetahuan, sesiapa yang buat soalan UPSR, PMR, SPM dan sebagainya tidak dibenarkan bocorkan soalan. Nanti kena tindakan undang-undang. Anak mana yang sanggup tengok walau ayah ditahan reman? So, hanya soalan ramalan yang boleh diberi ya. Lepas tamat exam, bolehla bocorkan soalan sebenar =) *sudah-sudahla explain, cepatla bagi soalan -.-"

Ok adik-adik dan sesiapa yang berminat atau share pada calon-calon. Berikut merupakan soalan-soalan ramalan, sila ikuti semua kandungan di bawah. Kata ayah, ini format dan contoh yang terbaru dan ramalan yang wajib dirujuk adik-adik sekalian. Pesannya, walaupun isu simple, tapi pastikan isi kandungan menarik ok! Sila rujuk; =)

Kertas 02/2 – Ujian Subjektif (Karangan)
Fokus Tajuk-tajuk Pilihan 2012
Dr. Supian Md. Noor (kenal nama ini? Tengok belakang buku teks Bahasa Melayu) ^~^



Kertas 1 : Karangan Bahagian B

Topik 1
Benteng utama untuk menghadapi pelbagai gejala sosial dewasa ini terletak pada pengukuhan institusi keluarga.
Berikan komen anda berkaitan dengan pandangan ini.
________________________________________________________________

Karangan

Institusi keluarga biasanya terbentuk daripada kelompok yang paling asas, iaitu ayah, ibu, dan anak-anak.  Sementara itu, gejala sosial merujuk kepada perkara-perkara negatif yang dilakukan oleh sesiapa saja. Gejala sosial yang melanda masyarakat kita hari ini berkait rapat dengan nilai kehidupan dalam institusi keluarga.  Banyak pihak yang berpendapat bahawa kanak-kanak yang dididik dengan baik dapat meryerapkan nilai-nilai murni sebagai persiapan untuk menghadapi pelbagai cabaran kehidupan. 

            Salah satu usaha pengukuhan institusi keluarga terletak pada usaha  pemupukan semangat yang kental.  Melalui cara ini, benteng bagi menangkis sebarang masalah sosial yang melanda masyarakat kita dewasa ini akan wujud.    Antara masalah sosial itu termasuklah masalah penyalahgunaan dadah, perlakuan sumbang mahram, kes pembuangan bayi, jenayah perogolan yang membabitkan pelajar, dan gejala laku musnah.  Oleh itu, setiap anggota keluarga perlulah berganding bahu untuk memastikan bahawa semangat yang kental terjelma dalam kalangan anggota keluarga dan akhirnya dapat mengelak daripada gejala-gejala sosial.
           
Selain itu, melalui usaha pengukuhan institusi keluarga, ibu bapa perlu diberi pendedahan tentang kemahiran keibubapaan.  Hal ini demikian kerana kemahiran keibubapaan bagi sesesetengah ibu bapa amat terhad. Antara kemahiran yang dapat diterapkan termasuklah komunikasi efektif, mesra keluarga, nilai kekeluargaan, toleransi, keibubapaan cemerlang, dan kasih sayang.  Penerapan ciri-ciri tersebut dalam kehidupan alam rumah tangga dapat membentuk keluarga bahagia. Oleh yang demikian, dengan sendirinya anak-anak remaja tidak akan terdorong untuk keluar rumah mencari keseronokan yang berkemungkibnan mendedahkan gejala-gejala negatif kepada mereka.

            Selanjutnya, pemupukan nilai-nilai murni mampu mengukuhkan institusi keluarga. Dengan berlandaskan anggapan bahawa daya kekuatan sesebuah keluarga itu bermula dari rumah, yang penting kini ialah usaha mencurahkan segala tenaga kita untuk mengukuhkan institusi tersebut.  Dalam konteks ini, ibu bapa yang berjaya ialah ibu bapa yang dapat menerapkan nilai-nilai murni sosial dan kekeluargaan di kalangan anak mereka.  Lantaran itu, saranan agar ibu bapa memberikan perhatian yang sewajarnya untuk mengawasi segala tindak-tanduk anak-anak mereka perlu disambut oleh semua ibu bapa agar anak-anak mereka tidak terperangkap dalam gejala penyalahgunaan dadah dan keruntuhan moral

            Kesimpulannya, masalah sosial perlu ditangani segera.  Jika tidak ditangani segera, masalah ini pasti akan menggugat kestabilan masyarakat dan negara.  Peranan ibu bapa dan anggota keluarga amat penting untuk melahirkan anak yang mampu menangani segala dugaan dan cabaran ini.  Tegasnya, pengukuhan institusi keluarga tetap menjadi benteng utama demi menghadapi pelbagai masalah sosial dewasa ini.           

Topik 2
Karangan Jenis Surat Kiriman Rasmi

Pembuangan sampah telah dilakukan di suatu kawasan berdekatan dengan tempat tinggal anda.  Hal tersebut menyebabkan keadaan persekitaran kotor dan menyusahkan anda serta penduduk di tempat tinggal anda.  Sebagai wakil penduduk, anda diminta menulis surat bantahan kepada pihak yang berkenaan.

Tulislah surat itu selengkapnya.
______________________________________________________________________



Karangan

No. 23, Lorong Tempua,
Desa Sungai Merab Luar,
43600 Bangi,
Selangor Darul Ehsan.


Yang Dipertua,
Majlis Daerah Hulu Langat,
Bangunan MDHL Bangi,
43600 Bangi,
SELANGOR DARUL EHSAN.                                                       24 SEPTEMBER 2012


Tuan,
Bantahan Terhadap Pembuangan Sampah

Dengan merujuk kepada perkara di atas, saya sebagai wakil penduduk Desa Sungai Merab Luar, ingin membuat bantahan berhubung dengan pembuangan sampah sarap di sekitar kampung kami.

2. Sejak awal tahun 2012 yang lalu, kawasan berpaya di hujung kampung kami telah menjadi tempat pembuangan sampah yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dari tempat lain terutama kilang-kilang dari Bandar Baru Bangi.  Untuk makluman tuan, kampung kami terletak tidak jauh dari kilang-kilang di kawasan Perindustrian Bangi.  Antara sampah sarap tersebut termasuklah bahan toksik, tayar-tayar buruk, tong-tong kosong, dan sebagainya.

3.  Keadaan tersebut menyebabkan kami tidak berasa selesa terutama pada musim hujan.  Hal ini demikian kerana sampah sarap tersebut mengakibatkan bau busuk.  Selain itu, timbunan sampah sarap itu menggalakkan pembiakan nyamuk, lalat, tikus, dan lain-lain sebagainya.  Gejala tersebut sudah pasti memudaratkan kami.  Bahan-bahan sisa toksik yang dibuang sudah tentu menjadi ancaman utama kepada kesejahteraan hidup kami.

4.  Seterusnya, sampah sarap itu kadang-kadang terbakar artau dibakar oleh pihak tertentu dan sebagai kesannya asal tebal terhasil dan mencemarkan udara di kawasan persekitaran tempat tinggal kami.  Asap tebal itu juga telah menghalang pelihatan para pemandu dan sebagai kesannya kemalangan jalan raya sering berlaku di jalan raya utama di tempat tinggal kami.

5.  Untuk makluman tuan,  jalan raya utama di kampung kami dapat dilalui oleh pengguna jalan raya untuk ke Putrajaya atau ke bandar Kajang.  Keadaan timbunan sampah sarap yang amat menjijikkan itu sudah pasti mengancam keselesaan pengguna-pengguna jalan raya untuk ke tempat-tempat tersebut.

6.  Saya berharap agar pihak tuan mengambil tindakan yang sewajarnya demi menyelesaikan masalah tersebut.  Kami bersedia memberikan kerjasama kepada pihak tuan jika pihak tuan memerlukannya.  Dengan kerjasama daripada pihak tuan itu, kami dahulukan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.


Yang benar,


_______________________
(SAMARIN BIN HAJI SIRAJ)
Wakil Penduduk,
Desa Sungai Merab Luar.



Topik 3
Karangan Jenis Surat Kiriman Tak Rasmi

Rakan anda telah mengirimkan sepucuk surat kepada anda. Rakan anda itu memberitahukan bahawa dia hendak memasuki Program Latihan Khidmat Negara. Sebagai  kawan yang rapat anda ingin membalas surat tersebut dengan mengatakan faedah-faedah Program Latihan Khidmat Negara kepada pelajar.


                                                                                                                    No.7301, Jalan 18/11,
                                                                                                                    Taman Seri Sentosa,
                                                                                                                    46000 Petaling Jaya,
                                                                                                                    Selangor Darul Ehsan.

                                                                                                                    4 September 2012

            Menemui saudara Fahmi di Ipoh, Perak. Semoga saudara berada dalam kandungan sihat di samping keluarga tercinta.

Saudara,
            Apa khabar saudara? Sebelum mata pena ini mengalirkan tintanya dengan lebih deras lagi, ribuan terima kasih saya ucapkan atas kiriman warkah saudara tempoh hari. Rancangan saudara seperti yang dinyatakan dalam warkah tersebut, iaitu untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara memang ada manfaatnya terutama dari segi ilmu pengetahuan. Melalui program tersebut, saudara akan dapat meningkatkan daya keintelektualan.  Contohnya, melalui perkhemahan yang diadakan, saudara dapat meningkatkan keupayaan untuk berdikari.
           
Selain itu, saudara dapat menambah pengalaman dari segi pergaulan dan mempunyai kenalan yang besar jumlahnya. Secara tidak langsung, saudara dapat bertukar-tukar nota pembelajaran menjelang hari peperiksaan. Hal ini dapat dilakukan dengan adanya sistem komunikasi yang baik. Contohnya, penggunaan e-mel dalam perkhidmatan internet.

Saudara,
            Program Latihan Khidmat Negara dapat memupuk perasaan cinta akan negara. Semangat itu perlu ada untuk mengelakkan kita daripada terpengaruh oleh sesuatu isu yang tidak benar. Hal itu akan mewujudkan kepekaan di kalangan pelajar tentang kelebihan yang kita ada apabila menyertai  Program Latihan Khidmat Negara.

            Program Latihan Khidmat Negara juga dapat mengurangkan tekanan semasa belajar. Aktiviti yang dijalankan dapat memberikan ketenangan kepada diri serta mental kita. Apabila seseorang pelajar tidak mempunyai tekanan, mereka dapat menumpukan perhatian yang lebih terhadap pelajaran mereka.

            Sebagai rakan, saya menyokong hasrat saudara itu sepenuhnya. Janganlah saudara melepaskan peluang ini kerana saya sendiri sudah pun menyertainya. Akhir kata, sambutlah salam ingatan mesra daripada saya dan semoga kita dapat berrtemu lagi dalam lembaran yang akan datang. Terimalah salam hormat daripada sahabat saudara di sini.

            Sekian, terima kasih.

                                                                                                                    Yang mengingati saudara,
                                                                                                           
                                                                                                                                   Saifudin

Topik 4
Karangan Jenis Pendapat

Soalan
Malaysia mempunyai pelbagai jenis makan tradisional. Kepelbagaian makanan tradisional ini mesti dikekalkan kerana kepentingannya amat banyak.

Berikan pendapat anda tentang kepentingan mengekalkan makanan tradisional Malaysia.

________________________________________________________________

Karangan
(Bahasa bagi bahagian yang bercetak tebal tidak tepat. Sila tulis pembetulannya)

Makanan sangat penting dalam kehidupan manusia moden sekarang. Jenis makanan rakyat Malaysia dapat dibahagikan kepada makanan moden dan makanan tradisional. Hal ini demikian kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan. Setiap kaum mempunyai jenis-jenis makanannya yang tersendiri. Oleh itu, makanan tradisional mesti dikekalkan kerana kepentingannya amat banyak.

Salah satu kepentingan makanan tradisional adalah berkait rapat dengan jati diri negara kita. Dengan adanya makanan tradisional ini, orang asing akan mengenali budaya negara kita dengan lebih dekat. Orang asing yang menikmatinya akan menghormati cita rasa kegemaran rakyat kita. Selain itu, sudah pasti ada yang berminat untuk terus menikmatinya. Hal ini sekaligus membantu mengekalkan dan meningkatkan populariti makanan tradisional.

Seterusnya, makanan tradisional yang terus dikekalkan itu penting supaya generasi yang akan datang tidak melupakannya. Sebagai contoh, makanan tradisional orang Melayu seperti rendang, sate, tempe, rojak, lontong, sambal tumis, tempoyak, dodol, otak-otak, onde-onde, dan banyak lagi akan pupus suatu masa nanti sekiranya tidak dikekalkan.  Sekiranya usaha ini tidak dilakukan sekarang, kemungkinan besar pada suatu hari nanti generasi baru tidak dapat lagi mengenali makanan-makanan tradisional ini. Hal ini kerana makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken (KFC), McDonald, Sugar Bun, Pizza Hut, dan sebagainya kini sedang menguasai menu makanan anak-anak muda kita.

Selanjutnya, pengekalan makanan tradisional dalam amalan pemakanan masyarakat Malaysia akan memastikan makanan tradisional itu tidak lenyap ditelan oleh zaman. Pengekalan makanan tradisional ini dapat juga merangsang industri pengeluaran makanan-makanan tradisional secara komersial. Misalnya, sate akan dapat difrancaiskan ke seluruh dunia sekiranya usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan bagi mempopularkan makanan ini dalam kalangan warga asing. Sekiranya budaya makan makanan segera dapat diterapkan di kalangan masyarakat kita, begitu jugalah sebaliknya. Makanan tradisional kita dapat diperkenalkan sebagai makanan popular di luar negara.

Selain itu, makanan-makanan tradisional yang terus dikekalkan ini secara tidak langsung dapat juga menambah kepelbagaian pilihan sajian masyarakat kita. Hal ini juga sekali gus memudahkan pihak pengusaha hotel dan katering menyediakan sajian makanan yang pelbagai. Keadaan seperti ini penting agar mereka dapat memenuhi kehendak para pelanggan yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa, sama ada rakyat setempat mahupun warga asing.

Kesimpulannya, makanan tradisional tetap mempunyai nilainya yang tersendiri. Faedahnya banyak apabila kita mengekalkan amalan pemakanan makanan tradisional ini. Dengan adanya sikap seperti ini, warisan nenek moyang kita akan kekal terpelihara.


Topik 5
Karangan Jenis Syarahan

Soalan
Anda telah menyertai pertandingan syarahan pada peringkat sekolah anda. Tajuk syarahan yang ditetapkan berkaitan dengan faedah menjadi penganjur pelbagai acara sukan peringkat antarabangsa.

Tulis teks syarahan anda itu selengkapnya.

________________________________________________________________

Karangan

            Yang saya hormati tuan pengerusi majlis, Yang Mulia Tuan Pengetua Sekolah Menengah Seri Bestari, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya mengucapkan kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan syarahan ini. Saya bersyukur juga kepada Allah kerana akhirnya saya dapat menyampaikan syarahan ini. Tajuk syarahan saya ini berkaitan dengan faedah menjadi penganjur acara sukan pada peringkat antarabangsa. 

Sidang hadirin,
Sejak beberapa tahun belakangan ini, Malaysia terkenal sebagai penganjur pelbagai acara sukan yang bertaraf dunia seperti Sukan Komanwel, pertandingan Grand Prix Formula 1, Sukan SEA, perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi, dan sebagainya. Penganjuran sukan bertaraf antarabangsa ini mendatangkan banyak faedah  kepada negara.

Salah satu faedah yang diperolehi melalui penganjuran sukan bertaraf antarabangsa ini berkait rapat dengan industri pelancongan. Hal ini demikian kerana orang asing akan mengenali negara kita dengan lebih rapat lagi bila kita menganjurkan suatu acara sukan bertaraf dunia. Penganjuran acara sukan besar seperti ini dapat menarik kunjungan pelancong yang lebih besar jumlahnya. Kini, sektor pelancongan merupakan sektor ekonomi negara yang ketiga terbesar. Sebenarnya, keadaan ini merupakan kesan rantaian daripada penganjuran pelbagai acara sukan bertaraf dunia.

Seterusnya, kejayaan penganjuran sesuatu sukan bertaraf antarabangsa turut  menjadi penunjuk kepesatan pembangunan dan kemajuan negara ini. Keadaan seperti ini akan mendorong pelabur asing yang lebih besar jumlahnya yang berminat untuk menanam modal. Lazimnya apabila sebuah negara menjadi sebutan berkaitan dengan sesuatu acara sukan yang berprestij, manfaat yang diperoleh adalah pada skala yang amat besar. Keupayaan negara menganjurkan acara sebegini besar telah menyakinkan para pelabur untuk melabur di negara kita. Hal ini sekaligus dapat membantu negara mengatasi pelbagai masalah pengangguran yang kian berleluasa sejak beberapa waktu belakangan ini.

Seperkara lagi, industri sampingan yang dapat berkembang maju sebagai akibat penganjuran pelbagai acara sukan pada peringkat antarabangsa ini ialah sektor perhotelan, alatan sukan, pembuatan hadiah dan cenderamata, penyediaan stadium, dan lain-lain sebagainya. Setiap kali berlangsungnya sesuatu temasya sukan tertentu, sudah pasti pasukan pemain, para atlit, dan pegawai, serta rombongan penyokong mereka yang berkunjung ke negara kita akan bertambah berlipat ganda. Tidak dinafikan bahawa mereka memerlukan tempat penginapan yang selesa selama berada di sini. Dalam hal ini, sudah semestinya hotel-hotel menjadi tumpuan mereka. Begitu juga halnya dengan industri-industri lain yang pasti akan mencatat peningkatan dalam pendapatan masing-masing.

Tampaknya, faedah yang diperoleh daripada penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa ini tidak terkira banyaknya. Setakat inilah sahaja syarahan saya pada pagi ini. Terima kasih saya ucapkan kerana sudi mendengar syarahan saya. Sekiranya kata-kata saya menyinggung perasaan para hadirin, saya memohon ampun dan maaf. Sebagai manusia biasa, saya tidak lari daripada kesalahan seperti kata pepatah Melayu, "Bumi mana tidak ditimpa huja, bahtera mana tidak menempuh gelombang ombak, dan lautan mana tidak bergelombang”. Sekian terima kasih.



Topik 6
Anda terpilih menyertai suatu pertandingan perbahasan yang bertajuk "Tindakan Menggaji Pekerja Asing Lebih Banyak Mendatangkan Keburukan kepada Negara Kita ".

Sebagai pihak pencadang, tulislah teks hujah-hujah anda itu selengkapnya.

_________________________________________________________________

Karangan

Perahu berlabuh di tengah muara,
Tempat nelayan mengail ikan;
Salam sejahtera pembuka bicara,
Gelanggang debat saya mulakan.

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif, barisan pembangkang yang saya geruni, serta hadirin yang saya hormati. Terima kasih saya ucapkan kerana memberi saya peluang untuk menyampaikan hujah-hujah sebagai pencadang pertama. Saya bersyukur kerana segalanya dalam keadaan baik dan kini dapatlah saya menyampaikan hujah-hujah saya. Berdirinya saya di pentas pada pagi yang indah ini adalah untuk mempertahankan tajuk perbahasan kita, iaitu "Tindakan Menggaji Pekerja Asing Lebih Banyak Mendatangkan Keburukan kepada Negara Kita."

Hadirin sekalian,
"Pekerja asing" bermaksud pendatang asing dari negara luar yang berhijrah ke negara kita untuk mencari rezeki. Sebagai pihak pencadang, saya berpendapat bahawa usaha menggaji pekerja asing tidak banyak mendatangkan faedah kepada negara. Hujah saya yang pertama berdasarkan kunci kata "kesan ekonomi". Mereka secara tidak cara langsung telah mengaut kekayaan negara. Saban bulan mereka akan mengirimkan wang kepada keluarga di kampung halaman mereka. Negara kita kerugian kerana banyak wang mengalir ke luar negara.

Hadirin yang saya hormati,
Kemasukan pekerja asing yang begitu banyak telah merampas peluang pekerjaan anak-anak tempatan. Hal ini demikian kerana para pendatang asing yang masuk ke negara ini sama ada secara sah atau haram telah menimbulkan persaingan kepada pekerja tempatan. Umumnya, para pekerja asing tidak cerewet. Mereka sanggup menerima upah yang lebih rendah daripada pekerja tempatan. Mereka tidak terlalu memilih pekerjaan. Oleh itu, mereka menjadi pihak yang dicari-cari oleh para majikan.

Hadirin yang saya hormati sekalian,
Terdapat juga pekerja asing yang melakukan jenayah di negara kita. Hal ini demikian kerana sebilangan kecil buruh asing pernah menjadi buruan pihak berkuasa di negara asal mereka. Mereka tidak gentar untuk melakukan perbuatan jenayah. Oleh sebab desakan hidup, mereka sanggup berbuat apa-apa sahaja asalkan mereka dapat meneruskan hidup. Kita sering disogokkan  berita kejadian jenayah seperti rompakan, pecah rumah, perogolan, dan pembunuhan yang membabitkan pendatang asing. Perkara seperti ini tidak patut dibiarkan.

Hadirin sekalian,
Tampaknya masa tidak mengizinkan saya untuk berhujah lagi. Sebelum mengundurkan diri, kami bagi pihak pencadang tetap mengatakan bahawa tindakan menggaji pekerja asing lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Kepada semua yang ada pada hari ini, terima kasih saya ucapkan kerana sudi mendengar dan meneliti hujah-hujah saya. Saya mohon ampun dan maaf seandainya ada kata-kata saya yang menyinggung perasaan hadirin pada pagi ini. Sekian, terima kasih.
  

Tajuk-tajuk Tambahan

Tajuk 1 - Karangan Jenis Pengalaman
Berpuluh-puluh orang pelajar di sekolah anda telah tidak sedar akan diri masing-masing. Mereka menjerit-jerit dan berlari tidak tentu arah. Anda dan rakan-rakan berusaha menenangkan mereka tetapi gagal.

Tulis pengalaman anda ketika menghadapi saat-saat genting tersebut.

Pendahuluan           -           Hujan renyai-renyai
                        -           setengah jam lagi para pelajar akan keluar rehat
Isi-isi               -           Tiba-tiba, kedengaran jeritan dan pekikan pelajar
                        -           beberapa orang pelajar perempuan berlari tidak tentu arah
                        -           guru mengarahkan saya dan rakan-rakan memberikan
bantuan
                        -           aku cuba menangkap seorang pelajare tetapi aku
                                diteranjang
 -        jatuh - cedera dan basah
                        -           telefon ambulans - mereka dibawa ke rumah sakit
Penutup        -           mengikut doktor - pelajar mengalami tekanan perasaan
                                menjelang  peperiksaan

Tajuk 2 - Karangan Jenis Penulisan Cerpen
Sebuah majalah tempatan menganjurkan satu pertandingan penulisan cerpen. Tema yang ditetapkan berkaitan dengan pentingnya amalan mulia dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Tulis cerpen tersebut selengkapnya.

Pendahuluan           -           Tiga orang pelajar berlainan bangsa, berkawan rapat –
sekelas
Isi-isi               -           Salah seorang - berasal daripada keluarga miskin - tidak
Cukup buku-buku rujukan dan peralatan sekolah
                        -           hampir berputus asa dan ingin berhenti sekolah
                        -           dua orang rakannya yang lain memberikan bantuan, nasihat,
dan dorongan
                        -           semangat kian pulih - terus belajar
                        -           belajar sungguh-sungguh, berbincang, bantu-membantu
                                 Dalam pelajaran
Penutp           -           Mereka bertiga lulus dengan cemerlangnya dalam PMR

Tajuk 3          -           Karangan Jenis Surat Kiriman Rasmi
Kegiatan pelumba-pelumba motosikal haram telah mengganggu ketenteraman dan keselamatan penduduk-penduduk di tempat tinggal anda.
Tulis sepucuk surat kepada Ketua Polis Daerah tentang perkara tersebut.

Pendahuluan           -           Perkara - Kegiatan Pelumba-pelumba Motosikal Haram
Isi-isi               -           Setiap malam banyak pemuda motosikal haram yang
berlumba di kawasan kediaman anda
                        -           keselamatan anda dan penduduk setempat terancam
                        -           beberapa orang kanak-kanak menjadi mangsa - terkorban
dan cedera
                        -           bunyi bising - mengganggu ketenteraman pelajar dan orang
yang tidur
                        -           pencemaran bunyi
Penutup        -           berharap agar tindakan segera diambil
                        -           terima kasih - tandatangan



Tajuk 4 - Karangan Jenis Syarahan
Anda mewakili sekolah anda dalam peretandingan syarahan antara sekolah di daerah anda. Tajuk syarahan anda "Perpaduan Bermula di Rumah".
Sediakan syarahan anda selengkapnya.

Pendahuluan           -           Kata alu-aluan, terima kasih, bersyukur, dan nyatakan tajuk
Isi-isi               -           perpaduan penting dalam keluarga, masyarakat dan negara
                        -           perpaduan bermula di rumah - didikan awal daripada amat
penting
                        -           anak-anak diajar bertolak ansur antara satu sama lain
                        -           denda berbentuk pengajaran harus diadakan
                        -           sikap perpaduan diperkukuh di sekolah - Pendidikan Moral
dan Sivik penting
                        -           galakkan amalan sifat tersebut dalam masyarakat
            -           Perpaduan amat penting demi menjamin keutuhan
masyarakat
Penutup        -           Bayangan, terima kasih, maaf,  sekian

Tajuk 5 - Karangan Jenis Rencana
Tulislah suatu rencana yang bertajuk "Bersopan Santun Amalan Kita Bersama"

Pendahuluan                       -           Bersopan santun, amalan masyarakat Timur yang
terpuji
Isi-isi                           -           Penting untuk mengekalkan keharmonian  kehidupan
masyarakat berbilang kaum di Malaysia
                                    -           peranan ibu bapa dan guru - didikan awal - tanamkan
nilai-nilai murni dalam kehidupan - bimbingan guru penting
                                    -           amalan seperti ini dapat meningkatkan imej negara
pada mata pelancong asing - industri pelancongan akan meningkat dan menguntungkan negara
                                    -           bersopan santun di jalan raya - mengurangkan kadar
kemalangan jalan raya
                                    -           bersopan santun sewaktu bekerja - berasa lebih
selesa dan harmoni
Penutup                    -           Amalan ini semakin tercemar kerana budaya Barat.
Langkah-langkah harus diambil


Tajuk 6                      -           Karangan Jenis laporan
Anda ialah setiausaha keceriaan kawasan sekolah. Tulislah suatu laporan tentang kegiatan-kegiatan yang telah dijalankan untuk mencantikkan sekolah anda.

Format                        -           3T + 2P + MO
Pendahuluan                       -           Tajuk Laporan
Isi-isi                           -           Kegiatan yang dijalankan
                                    -           Kebersihan kawasan sekolah, bangunan, taman, bilik
darjah, dan sebagainya
                                    -           Pelibatan guru, pelajar, dan kakitangan sekolah yang
lain
                                    -           Kejayaan yang telah dicapai
Penutup                    -           Ucapan terima kasih
                                    -           Pelapor


Tajuk 7                      -           Karangan Jenis Wawancara
Sebagai pemberita majalah Harapan, anda telah ditugasi mengadakan wawancara dengan seorang pemuda cacat tentang kejayaannya. Selain rahsia kejayaannya, anda ingin juga mengetahui rancangan-rancangannya pada masa hadapan.
Tulis wawancara tersebut selengkapnya.

Pendahuluan                       -           Latar belakang pemuda yang cacat itu (dalam
perenggan)
Isi-isi                           -           Ucapan salam dan kata-kata yang mewujudkan
kemesraan (pend. isi - dalam wawancara)
                                    -           kejayaan-kejayaan yang telag dicapainya
                                    -           bagaimana cara dia berusaha
                                    -           dorongan dan galakan
                                    -           rancangan pada masa  hadapannya
                                    -           bayangan penutup dan terima kasih
Penutup                    -           Ucapan terima kasih


Gambar hiasan. Beliau penulis rasmi penerbit Sasbadi =)
-------- Sekian untuk Kertas Karangan (sorry agak berterabur, sebab CopyPaste) ------------

Bahagian Tatabahasa dan Aspek Bahasa : Soalan Klon PMR 2012 (klik di sini

*Till da next entry. Wassalam.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Berminat untuk dapatkan Makanan Penuh Nutrisi dan atasi Masalah Kesihatan? 
SMS/Whatsapp 017-2480424 atau 

0 bagi komen: